Hari Hijab Sedunia disambut oleh 190 negara seluruh dunia. Pada tarikh 1 Februari, orang ramai terutamanya wanita bukan Islam dan mereka yang tidak berhijab digalakkan untuk merasai pengalaman berhijab sebagai tanda sokongan kepada golongan muslimah di seluruh dunia yang terpaksa berhadapan diskriminasi semata-mata mahu menutup aurat.

PENGASAS HARI HIJAB SEDUNIA.

Namun, tahukah anda siapakah gerangan individu yang mengasaskan Hari Hijab Sedunia? telah diasaskan oleh Nazma Khan, seorang wanita warga Amerika?

Ya, Nazma Khan merupakan warga Amerika yang menetap di Bronx, New York telah mengasaskan Hari Hijab Sedunia pada tahun 2013 berdasarkan pengalamannya dan juga diskriminasi terhadap wanita Islam dan berhijab di negara tersebut.

Nazma Khan berasal dari Bangladesh dan memasuki Amerika seawal usia 11 tahun bersama keluarganya. Beliau menghadapi waktu yang amat sukar di zaman remajanya apabila menjadi satu-satunya pelajar yang memakai hijab di sekolah.

Antara gelaran yang diberikan rakan-rakan kepadanya adalah ‘batman’ atau pun ‘ninja’. Sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya dia sentiasa dibuli hanya kerana memakai hijab. Namun, dia tetap dengan pendiriannya untuk menyarung hijab setiap kali keluar dari rumah walau pun sentiasa diherdik.

DIGELAR PENGGANAS

Tidak hanya di sekolah, Nazma juga dibuli apabila memasuk universiti selepas kejadian serangan berani mati yang diatur oleh al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Serangan tersebut telah memusnahkan Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center) di Bandar Raya New York. Nazma akan diejek dengan kata-kata kesat dan digelar sebagai pengganas atau dengan nama Osama bin Laden.

Tujuan utama Nazma memperkenalkan WHD adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hijab dan membuang stigma Islamofobia yang telah wujud sekian lama. Pada hari tersebut, penganut bukan Islam dan juga wanita tidak berhijab digalakkan untuk memakai hijab bagi merasai pengalaman berhijab.

Nazma Khan

Sebagai negara majoriti penduduk beragama Islam, mungkin kita tidak dapat membayangkan pengalaman yang dilalui Nazma dan wanita Islam di seluruh negara yang mana Islam adalah minoriti dan Islamofobia itu benar dan wujud.

ISLAMOFOBIA

Islamofobia adalah rasa takut dan benci terhadap Islam yang membawa kepada perasaan tidak suka kepada orang Islam. Ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat. Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada dikenali sebagai satu agama.

Istilah Islamofobia telah mula digunakan pada awal tahun 80-an namun menjadi lebih popular selepas kejadian pada 11 September 2001. Gara-gara Islamofobia, pelancong Islam juga mengalami masalah untuk memasuki negara-negara barat terutamanya mereka yang berhijab, berjubah dan berjanggut (bagi lelaki).

WHD disambut di 190 negara seluruh dunia dan diharap dapat menyampaikan matlamatnya kepada seluruh penduduk dunia dan wanita Islam bebas berpakaian menutup aurat menyikut Syariah Islam.

Marilah kita sama-sama berbangga dengan apa yang kita pakai dalam memenuhi Syariah Islam. Tidak salah untuk kita berfesyen asalkan masih mengekalkan ciri-ciri Islam dan menutup aurat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *